PERHATiAN

Adalah dimaklumkan bahawa tidak semua artikel didalam blog ini adalah dari karya saya, ada sesetengahnya (yg bertanda *) diambil dari blog lain untuk renungan bersama.
Terima Kasih.

Sunday, June 29, 2008

Dipetik dari blog Ibnu Zhaki

Hati menjadi semakin lunak untuk melihat kecelaan diri. Memang wajar, tiap ketika yang semakin melewati dan tatkala umur kita semakin meningkat, semakin terasa kuat ingin merendahkan diri dengan serendah-rendahnya.

Rasulullah s.a.w. adalah penghulu para sufi. Indah sungguh akhlak baginda tiada tertanding oleh sesiapa pun. Maka kita selaku umat baginda perlu untuk sentiasa menjadikan baginda tumpuan dan ikutan perdana. Kita dapat melihat pada diri kita sendiri, betapa jijik dan celanya kita jika tiada ilmu penyucian hati yang telah diajarkan baginda.

Berdirilah di mana kita berada sekarang. Pastikan jangan ada perasaan kibr itu walau sebesar mana pun. Bagi yang belum mencapai maqam mahfuz, kita pasti bakal melakukan kesalahan dan dosa. Mahu tidak mahu, proses penyucian hati ini sentiasa perlu dilakukan. Al-Quran, zikrullah dan selawat sebagai senjata penyucian yang utama.

'Ulama berkata; andaikata semua manusia ini telah berada pada tahap Saidina Abu Bakr r.a., pasti ALLAH s.w.t. mematikan semua makhluk yang ada di muka bumi ini. Kita sentiasa tidak terlepas melakukan dosa dan kecelaan; di sinilah ALLAH s.w.t. men"tajalli"kan ( menyerlahkan, menunjukkan) sifat Maha Pengampun-Nya. Nabi s.a.w. pernah ditanya sahabat, apakah nasibnya andaikata dia melakukan dosa dan bertaubat dan kemudian melalukan dosa dan bertaubat lagi. Nabi menyatakan bahawa ALLAH akan tetap mengampunkan dosa -dosa tersebut selagi mana tidak mencapai dosa syirik. Namun, AWAS! Jangan kita terperangkap dalam belitan syaitan yang memesongkan kita dalam sifat al-Ghafur ALLAH s.w.t. Syaitan dan nafsu yang dicela akan sentiasa memerangkap kita dengan sentiasa menyuruh supaya dosa dilakukan, kerana perasaan risau tidak perlu wujud kerana dosa-dosa tersebut pasti diampunkan. Tidak, bukan ini yang dimaksudkan. Ini ialah belitan musuh-musuh jahannam tersebut. Kita sentiasa meletakkan azam tidak mahu melakukan dosa dan kelalaian. Setiap lintasan ke arah tersebut perlu kita tolak dengan sekuat-kuatnya. Namun, jika kita tetap tewas dan telah berada di luar kawalan, di sinilah kita perlu sujud dan menangis kepada ALLAH s.w.t. memohon maghfirah-Nya. Di sinilah kita sentiasa mengharapkan sifat Maha Pengampun-Nya yang Maha Hebat dan Maha Luas. Bukanlah dengan sifat ALLAH sedemikian kita sentiasa merancang dan berangan-berangan ingin melakukan dosa.

Imam Ghazali r.t. pernah menyatakan bahawa antara setinggi-tinggi kekufuran yang berlaku apabila seorang hamba melakukan dosa dan penderhakaan, dia melakukannya dengan ni'mat yang dikurniakan kepada ALLAH s.w.t. Inilah puncak kekufuran yang dilakukan hamba kepada ALLAH s.w.t.

Secara khulasahnya, perlu sentiasa kita meletakkan dalam hati kita perasaan gerun kita kepada ALLAH s.w.t. andaikata kita melakukan perkara-perkara yang dilarang-Nya. Peringkat demi peringkat, kikiskan dan buang sejauh-jauhnya perasaan kibr walau sebesar zarah. Nabi s.a.w. telah menyatakan bahawa insan yang punyai perasaan ini sebesar zarah sekalipun tidak akan memasuki syurga. Sentiasa sedar dan serlahkan ihanah (kehinaan) diri kita di hadapan ALLAH s.w.t. Lunakkan hati untuk sentiasa mabuk dalam sifat Maha Pengampun dan Maha Pengasih-Nya.

Susunan hamba yang sentiasa dikelilingi ma'siat dan dosa;
Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki


Dengan rujukan kepada kuliah ruhaniyah bersama al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi Al-Makki rahimahullah ta'ala.

sumber:
http://ikhwanzhaki.blogspot.com/2008/06/muhasabah-diri.html

Ungkapan berhikmah Saidina Abu Bakar r.a

Ungkapan berhikmah Saidina Abu Bakar r.a
"sesungguhnya berdiri iblis dihadapanmu, jiwa berada disebelah kananmu, nafsu pula disebelah kirimu, dunia berada dibelakang mu, semua anggota tubuh disekitarmu, sedangkan Allah 'Azzawajalla berada di atasmu.... Maka menghasutlah sang iblis laknatullah kepadamu agar meninggalkan agama mu, jiwa pula mendorong mu kearah maksiat, nafsu pula mendorongmu agar memenuhi tuntutan syahwat sedang dunia pula mengajakmu agar memilihnya dari memilih akhirat, anggota tubuh mu meminta agar kamu melakukan sebanyak mungkin dosa dan Allah menghendaki kamu agar memasuki syurga serta mendapatkan keampunannya..... Siapa yang memenuhi pelawaan iblis maka hilanglah agama dari dirinya... siapa yang menuruti ajakan jiwanya maka hilanglah darinya nilai nyawanya... siapa yang mengikuti tuntutan nafsunya maka hilanglah akal darinya... siapa yang memenuhi ajakan dunia maka tiadalah lagi akhirat untuknya... siapa yang menuruti ajakan anggota tubuhnya maka hilanglah syurga untuk dirinya.... manakala sesiapa yang memenuhi pelawaan Allah 'Azzawajalla maka sesungguhnya akan hilanglah pada dirinya semua kejahatan serta dia akan memperolehi segala kebaikan....... yang manakah kita??

BOIKOT!!

Bebaskan Palestin!